Apa Yang Anda Akan Alami Apabila Anda Hamil
Badan anda melalui perubahan yang menakjubkan ketika kehamilan. Sesetengah wanita kelihatan sihat berseri manakala yang lain mengalami hari-hari yang kurang memberangsangkan. Ini adalah beberapa perubahan yang anda boleh jangkakan berlaku sepanjang kehamilan dan tip berguna untuk menanganinya. Bersedia, mantapkan diri, ibu!
1. MABUK HAMIL
Walaupun mabuk hamil disebut “morning sickness” dalam Bahasa Inggeris, namun rasa loya boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja sepanjang hari. Ia disebabkan perubahan hormon ketika hamil, yang biasanya hilang pada penghujung bulan ketiga kehamilan.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Makan makanan ringkas dan elakkan makanan yang mempunyai bau atau rasa yang kuat.
- Hadkan makanan berlemak, berempah dan bergoreng.
- Ambil lebih banyak vitamin B6 kerana kajian mencadangkan ia bagus untuk mengurangkan loya.
- Jika loya disertai muntah, pastikan badan anda kekal terhidrat. Elakkan minum secara banyak pada satu masa dan minumlah sedikit tetapi kerap di antara waktu makan.
2. PEDIH ULU HATI
Apabila bayi anda membesar, ia menekan perut anda, menyebabkan pedih ulu hati. Ia adalah rasa di sekitar atas dada anda (belakang tulang dada). Perubahan paras hormon juga boleh menyebabkan pedih ulu hati, yang memperlahankan proses pencernaan.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Makan sedikit tetapi kerap dan makan secara perlahan.
- Elakkan berbaring sejurus selepas makan kerana ia akan memperlahankan proses pencernaan dan meningkatkan kemungkinan untuk mengalami pedih ulu hati.
- Makan lebih banyak makanan berbentuk cecair. Cecair lebih pantas bergerak masuk ke dalam perut berbanding makanan pejal seterusnya merendahkan risiko pedih ulu hati.
3. BERASA LETIH
Anda mungkin berasa cepat letih kerana badan anda bekerja keras untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk bayi anda membesar. Bayi yang membesar ini juga menambah berat yang anda bawa.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Tidur sekejap ketika siang dan tidur awal pada waktu malam.
- Kurangkan makanan manis dan karbohidrat yang tinggi indeks glisemik seperti nasi putih, roti putih dan mi.
- Ambil vitamin B secukupnya, nutrien utama untuk penghasilan tenaga.
- Ambil protein secukupnya untuk tenaga yang berterusan sepanjang hari.
4. SEMBELIT
Disebabkan perubahan hormon, anda mungkin mengalami pencernaan yang lebih perlahan yang mengakibatkan sembelit. Kehamilan memberi lebih tekanan kepada usus dan rektum, juga boleh mengganggu pencernaan, seterusnya memperlahankan proses pembuangan air besar.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Kerap bergerak untuk kekalkan pergerakan otot – berjalan, berenang, berlatih pilates atau yoga.
- Makan makanan yang kaya serat seperti roti mil penuh, bijirin tulen, buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Minum banyak air (sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari) dan elakkan kopi, teh dan minuman bergas yang boleh menyebabkan dehidrasi dan akan memburukkan lagi masalah sembelit.
5. KEKEJANGAN KAKI
Kekejangan kaki biasanya berlaku pada waktu malam terutamanya semasa fasa separuh akhir kehamilan. Ia disebabkan oleh penambahan berat badan atau diburukkan lagi oleh tekanan daripada pengembangan rahim anda.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Elakkan duduk atau berdiri pada posisi yang sama terlalu lama.
- Angkat kaki anda apabila boleh; elakkan duduk bersilang kaki.
- Regangkan kaki selama 20 hingga 30 saat sebelum tidur untuk memastikan otot anda dalam keadaan rehat.
- Ambil makanan, minuman atau suplemen yang tinggi kalsium dan magnesium.
6. SAKIT PINGGANG
Apabila bayi membesar, ia memberi tekanan kepada pelvis dan tulang belakang anda. Ini menyebabkan anda mengalami sakit pinggang, yang akan bertambah teruk apabila tempoh kehamilan meningkat
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Letakkan pek panas atau sejuk pada pinggang untuk meredakan kesakitan.
- Berdiri atau duduk tegak dengan postur yang betul supaya belakang anda disokong sebaiknya.
- Elakkan kasut tumit tinggi dan pakailah kasut tumit rendah yang selesa untuk menyeimbangkan berat anda secara sekata.
- Lakukan senaman ringan yang membantu menguatkan otot dan sendi anda untuk mengurangkan sakit pinggang berulang.
7. BENGKAK BUKU LALI DAN KAKI
Masalah bengkak biasanya berlaku pada fasa akhir kehamilan kerana retensi cecair yang berlaku kerana adanya tekanan daripada rahim yang membesar ke atas salur darah pada anggota bawah badan.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Berehat seketika daripada duduk atau berdiri.
- Angkat kaki anda sekerap mungkin kerana anda boleh mengurangkan retensi air pada kaki.
- Pakai kasut yang selesa dan boleh meregang untuk menampung kaki anda yang bengkak.
- Hadkan makanan masin dan berlebihan garam dalam pemakanan anda.
8. ANEMIA
Badan anda menghasilkan lebih banyak darah untuk menyokong perkembangan bayi anda. Anda mungkin mengalami anaemia apabila badan anda tidak mendapat zat besi dan nutrien tertentu yang secukupnya untuk menghasilkan darah. Akibatnya, badan boleh kekurangan oksigen dan anda berasa lesu.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Pastikan anda mendapat zat besi secukupnya supaya badan anda boleh menghasilkan cukup hemoglobin dalam sel darah merah.
- Ambil makanan yang kaya vitamin C untuk membantu penyerapan zat besi.
9. BERAT BADAN BERLEBIHAN
Mempunyai berat badan berlebihan ketika hamil boleh menyebabkan komplikasi kesihatan. Begitu juga jika anda berlebihan berat badan atau obes ketika hamil, anda dan bayi mungkin berisiko tinggi mengalami tekanan darah tinggi dan diabetes semasa hamil.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Berbincanglah dengan doktor anda dan ketahui jumlah berat badan sihat yang anda perlu tambah semasa hamil.
- Amalkan pemakanan sihat, seimbang dan elakkan makanan yang tinggi lemak, garam dan gula.
- Pilih makanan yang rendah indeks glisemik kerana ia akan membantu anda berasa kenyang lebih lama. Ini akan membantu mengawal selera anda dan mungkin berguna jika anda cuba menguruskan berat badan.
- Lakukan senaman ringan untuk membantu anda kekal aktif.
10. GUSI BERDARAH
Jangan terperanjat apabila gusi anda berdarah. Peningkatan aliran darah dan perubahan paras hormon boleh menyebabkan gusi anda menjadi lembut dan mudah bengkak.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?
- Dapatkan pemeriksaan gigi semasa hamil untuk memastikan gigi dan mulut anda sihat.
- Perbaiki tabiat makan anda dan kurangkan sebanyak mungkin makanan yang tinggi kandungan gula.
- Pastikan anda mengambil kalsium mengikut jumlah yang anda perlukan dalam tempoh ini.
- Tambah vitamin C ke dalam pemakanan harian anda untuk menguatkan tisu gusi dan mengawal keradangan.
PRODUK BERKAITAN
Prenatal Solutions